Tiada kematian dalam kalangan penerima vaksin lengkap di Sarawak

KUCHING, 9 OGOS – Tiada kes kematian akibat COVID-19 dalam kalangan penerima vaksin lengkap atau sekurang-kurangnya 14 hari seelepas menerima dos kedua di Sarawak.

Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata daripada sejumlah 449 kematian disebabkan COVID-19 yang dilaporkan setakat semalam, 425 kematian atau 94.6 peratus tidak mempunyai sejarah imunisasi penyakit itu.

“Manakala 21 kematian (4.7 peratus) hanya menerima dos pertama ketika mereka dikesan positif COVID-19. Hanya tiga kes kematian (0.7 peratus) telah menerima dos pertama dan kedua sebelum mereka dikesan positif tetapi di dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dos terakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya Sarawak turut mencatatkan liputan imunisasi yang tinggi dalam kalangan populasi dewasa yang layak dengan sebanyak 88.2 peratus sudah menerima dos pertama sementara 75.9 peratus sudah menerima dos kedua.

“Pencapaian liputan imunisasi COVID-19 yang tinggi ini merupakan hasil usaha dan kerjasama pelbagai pihak iaitu CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19) Sarawak, petugas kesihatan dan sukarelawan serta orang ramai yang telah mendapatkan imunisasi,” katanya. – Bernama