‘Tiada keperluan batal perjalanan UK’

SYDNEY, 21 DIS – Australia tidak akan menyertai senarai negara-negara yang mengharamkan pelancong Britain, kata pegawai hari ini, meluahkan keraguan mengatakan peningkatan jangkitan terbaharu di UK adalah disebabkan varian koronavirus baharu.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata Australia, yang masih berkongsi raja berperlembagaan bersama bekas kuasa jajahan – yakin peraturan kuarantin 14 hari sekarang untuk pelancong yang tiba adalah mencukupi untuk mengendali ancaman itu.

Beberapa negara sekutu telah bertindak menyekat kapal terbang, kereta api dan kapal yang tiba dari Britain, tatkala London mengingatkan tentang penularan varian virus baharu, dianggap lebih mudah berjangkit, telah merebak ‘di luar kawalan.’

Pemangku ketua pegawai perubatan Australia, Paul Kelly menegaskan pelawat yang tiba dari Britain ‘tidak menimbulkan risiko’ kepada orang awam Australia, disebabkan seperti semua orang, mereka mesti menjalani kuarantin 14 hari apabila memasuki negara.

Kelly juga menolak cadangan London mengatakan peningkatan dalam kadar jangkitan adalah berpunca daripada jenis virus baharu itu.

“Saya fikir kami perlu melihatnya dalam konteks,” kata Kelly, mendapati ‘terdapatnya ribuan mutasi’ koronavirus sejak ia pertama kali dikesan.

“Tidak terdapatnya bukti buat masa sekarang bahawa ia merupakan satu perubahan besar,” kata beliau.

Pihak berkuasa kesihatan Australia berkata mereka telah pun mengesan jenis virus British dalam pelawat yang dikuarantin.

Namun kes berkenaan dikatakan tidak dikaitkan dengan kluster 83 kes di Sydney, yang telah menamatkan tempoh tanpa penularan komuniti berminggu-minggu lamanya. – AFP