Tiada keperluan PKPD seluruh Tawau dan Lahad Datu – Ismail Sabri

KOTA KINABALU, 18 SEPT – Tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh Tawau dan Lahad Datu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sekiranya PKPD dilaksanakan sekali-pun, ia akan dilakukan secara bersasar iaitu berdasarkan lokaliti terlibat penularan COVID-19.

“Dahulu mungkin jika ada beberapa kes di Sabah, kita tutup seluruh Sabah, jika kes berlaku di Tawau kita tutup seluruh daerah, namun kini ia tidak adil kerana kita tidak ada kes COVID-19 di Kota Kinabalu dan Sepanggar, jadi takkan kita nak buat lockdown juga.

“Kini kita fokus kepada lokaliti terlibat, contohnya jika kes COVID-19 di penjara Tawau, kita laksana PKPD di lokaliti berkenaan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia peringkat Sabah kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau perkembangan kes di Tawau serta Lahad Datu dan sekiranya si-tuasi meruncing di beberapa kampung, PKPD bersasar akan dilaksanakan seperti di Kedah ketika pengawalan kluster Sivagangga. – Bernama