Tiada keperluan tubuh jaringan keselamatan laluan sempadan Kalimantan-Sarawak

KUALA LUMPUR, 3 OGOS – Tiada keperluan ketika ini untuk menubuhkan jaringan keselamatan laluan di sempadan Kalimantan-Sarawak bagi memantau sempadan negara di negeri itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata ketika ini operasi bersepadu Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) sedang dilaksanakan.

Katanya, Tentera Darat Malaysia telah menempatkan formasi-formasi di kedudukan yang strategik di kawasan sempadan negara di Sarawak.

“Op Benteng menggabungkan semua agensi penguatkuasaan sempadan merupakan langkah terbaharu yang

diambil oleh kerajaan bagi memperkukuhkan kawalan sempadan daratan khususnya negeri Sarawak.

“Markas Pemerintahan Medan Timur selaku Land Component Commander Timur (LCC Timur) adalah bertanggungjawab untuk menyelaraskan usaha bersepadu di bawah NTF ini,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementerian itu.

Jelasnya, Tentera Darat Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) turut melakukan rondaan keselamatan secara bersama di kawasan sempadan seperti di Limbang, Bareo dan Ba’kelalan, Sarawak. – Bernama