Tiada kes baharu, 3 didapati positif semula

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Negara Brunei Darussalam sekali lagi mengesahkan tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dengan menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kekal seramai 136 orang.

Sementara itu, tidak ada kes yang disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah dari Pusat Pengasingan Kebangsaan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal 107 orang.

Manakala, jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini juga kekal seramai 28, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan, dan selebihnya pula dalam keadaan yang baik.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara tersebut semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, seramai 85 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,390 orang.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 183 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 10,350 ujian,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Dalam kenyataannya juga, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa setakat ini, seramai 57 bekas pesakit yang telah dikenal pasti untuk diuji semula bagi virus SARS-CoV-2 iaitu dalam kalangan mereka yang telah sembuh dan keluar dari Pusat Pengasingan Kebangsaan melebihi tempoh 11 hari.

“Hasil keputusan ujian pada hari ini menunjukkan tiga orang lagi bekas pesakit didapati positif. Ini membawa jumlah keseluruhan seramai 11 orang positif semula dan 42 orang kekal negatif. Manakala empat lagi masih menunggu keputusan ujian,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Kesemua mereka yang didapati positif semula telah dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan untuk penyiasatan lanjut, katanya.

Selain itu, kontak keluarga terdekat mereka juga dikehendaki untuk men-jalani ujian makmal dan dikuarantin semula selama 14 hari.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa hasil daripada ujian yang telah dijalankan dalam kalangan kontak keluarga terdekat mereka adalah semuanya negatif.

“Alhamdulillah, statistik dan keadaan wabak COVID-19 pada beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan keberhasilan usaha-usaha pengawalan yang telah dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam.

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan.

Menurut Yang Berhormat Dato, walaupun negara kita belum melaksanakan sebarang tegahan pergerakan sepertimana yang dilaksanakan di negara-negara lain namun, orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi larangan perkumpulan ramai yang ada pada masa sekarang yang telah dikeluarkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

“Sekali lagi orang ramai diingatkan, di dalam membuat kegiatan aktiviti fizikal dan bersukan seperti di stadium atau di tempat rekreasi, mestilah mengamalkan penjarakan fizikal dan menghindarkan daripada berkumpul sama ada sebelum, semasa dan selepas membuat aktiviti fizikal dan bersukan serta segera beredar setelah selesai,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.