Tiada kes baharu, 418 jalani pengasingan diri

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Kementerian Kesihatan memaklumkan tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 seramai 228 orang.

Sementara itu, satu kes disahkan sembuh menjadikan kes yang aktif kepada enam kes yang mana kesemuanya yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dalam keadaan yang baik.

Pengemaskinian status tersebut telah dikongsikan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (364 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 87 kes.

Selain itu, turut dikongsikan juga ialah ringkasan pengasingan diri iaitu sejumlah 418 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 17,703 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 184 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 121,749 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.