Tiada kes baharu dicatat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Negara Brunei Darussalam hari ini tidak mencatatkan kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kekal seramai 136 orang.

Sementara itu, satu kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah, membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 107 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengumumkan jumlah berkenaan pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa berikutan pemeriksaan susulan bagi mereka yang telah disahkan sembuh, di mana mereka juga dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing selepas dibenarkan pulang dari Pusat Pengasingan Kebangsaan, tujuh orang lagi bekas pesakit telah didapati positif semula bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan seramai lapan orang setakat ini.

Kesemua mereka telah dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan untuk penyiasatan lanjut.

“Selain itu, kontak keluarga terdekat mereka juga dikehendaki untuk menjalani ujian makmal dan dikuarantin semula selama 14 hari. Tindakan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga sementara penyiasatan lanjut dilakukan dan lebih banyak maklumat mengenai jangkitan ini diperolehi,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa virus SARS-CoV-2 adalah sejenis virus baharu yang hanya mula dikenal pasti pada awal Januari tahun ini di mana masih banyak perkara yang belum diketahui mengenai jangkitan tersebut.

Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan beberapa negara di rantau ini untuk memahami profil dan ciri-ciri jangkitan tersebut dengan lebih mendalam, termasuk kaedah jangkitan, berapa lama virus boleh bertahan di dalam tubuh badan manusia dan sama ada seorang yang telah sembuh boleh dijangkiti semula atau boleh menjangkiti orang lain sekiranya virus tersebut masih dapat dikesan.

Menurutnya lagi, kelapan-lapan pesakit yang dimasukkan semula ke Pusat Pengasingan Kebangsaan berkenaan tidak termasuk dalam jumlah kes yang masih aktif di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana pada ketika ini, terdapat 28 kes aktif yang masih dirawat di pusat berkenaan.

Daripada jumlah tersebut, dua orang masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

“Pada hari ini juga, seramai 112 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,369 orang,” jelas beliau.

Sementara itu, tambah beliau, setakat hari ini, seramai 1,451 orang telah menamatkan tempoh pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang telah disediakan oleh kerajaan setelah pulang ke negara ini selepas melakukan perjalanan antarabangsa.