Tiada kes baharu dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Manakala jumlah kes yang telah sembuh pula ialah seramai 138 orang, di mana pada masa ini hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji MohammadIsham bin Haji Jaafar dalam kenyataannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang sepenuhnya kepada beliau,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, jelasnya, sebanyak 433 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 22,092 ujian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.

Berhubung aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa setakat ini sejumlah 281,969 orang ramai telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut. Manakala, seramai 355,402 orang mendaftar kepada aplikasi tersebut dan 6,212 syarikat dan premis telah mendaftar kepada aplikasi tersebut.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga memaklumkan kepada para pesakit dan pelawat-pelawat untuk mengimbas kod QR BruHealth yang terdapat di tempat-tempat masuk setiap hospital dan pusat-pusat kesihatan termasuklah tempat masuk di setiap perkhidmatan seperti klinik, wad, farmasi dan sebagainya.

“Pelawat-pelawat boleh menggunakan Borang Akuan Kesihatan jika masih tidak dapat menggunakan aplikasi BruHealth melalui telefon bimbit atau laman sesawang healthinfo.gov.bn.

“Pengguna BruHealth yang mempunyai kod merah hanya akan dibenarkan masuk jika mereka adalah pesakit-pesakit yang hendak berjumpa dengan doktor untuk konsultasi atau untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan.

Manakala bagi pelawat-pelawat, hanya mereka yang mempunyai kod warna hijau dan kuning sahaja akan dibenarkan melawat pesakit-pesakit di wad-wad hospital.

Menurutnya, tujuan semua pesakit dan pelawat dikehendaki untuk mengimbas kod QR BruHealth di hospital dan pusat-pusat kesihatan itu adalah bagi memudahkan pengesanan kontak dan bagi memastikan mereka yang mempunyai kod merah atau biru tidak mengunjungi mana-mana pesakit yang dirawat di dalam wad.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.