Tiada kes jangkitan baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini masih kekal 141 orang apabila tidak ada kes baharu jangkitan disahkan, hari ini.

Perkara berkenan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, tidak ada kes telah disahkan sembuh daripada COVID-19 pada hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal seramai 137 orang.

Sehubungan itu, jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini, kekal tiga kes dan daripada jumlah tersebut, dua masih dalam keadaan kritikal manakala satu kes yang hanya memerlukan mesin pernafasan kini juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) semula.

“Kedua-dua kes kritikal tersebut masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan dua mesin pernafasan manakala satu kes aktif lagi adalah dalam keadaan yang baik,” jelas beliau.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika bercakap pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 31 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 18,620 ujian.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkongsi perkembangan mengenai aplikasi BruHealth di mana setakat ini sejumlah 216,044 orang telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut.

Di samping itu, sebanyak 3,483 buah syarikat dan premis telah mendaftar bagi aplikasi tersebut dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,278 adalah restoran dan 297 lagi kedai termasuk kedai runcit telah membuat pendaftaran.

Mengulas mengenai aduan yang diterima daripada orang ramai, baru-baru ini, mengenai dengan jumlah pelanggan yang ramai di kedai-kedai runcit dan tidak dikawal kemasukannya, Yang Berhormat Dato mengingatkan sekali lagi pemilik-pemilik kedai untuk sentiasa mengawal kemasukan pelanggan ke dalam kedai mereka terutama sekali kepada kedai runcit yang mempunyai keluasan yang tidak besar.

Selain disarankan untuk mengehadkan kemasukan jumlah pelanggan di samping membuat tiga pemeriksaan suhu badan dan menyediakan hand sanitiser kepada setiap pelanggan yang datang.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.