Tiada kes kolera dicatatkan di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Hasil pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan, setakat ini tidak ada kes penyakit kolera telah dikesan di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, berikutan laporan kes penyakit kolera di negara jiran di mana Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan 43 kes kolera di beberapa kawasan di Sabah sejak Januari 2020 hingga sekarang. Kenyataan menjelaskan, penyakit kolera adalah penyakit jangkitan usus disebabkan kuman vibrio cholera yang merebak melalui makanan dan air yang tercemar.

Tanda utama penyakit berkenaan ialah cirit-birit dan selain daripada itu, tanda-tanda lain yang mungkin dihidapi termasuk muntah dan sakit perut. Jangkitan kolera yang teruk boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan (dehydration) dan kematian, jika tidak dirawat.

Sementara itu, walaupun sekatan perjalanan keluar dan masuk ke Negara Brunei Darussalam masih berkuat kuasa berikutan pandemik COVID-19 pada ketika ini, sebagai langkah waspada dan berjaga-jaga bagi menghindari jangkitan penyakit kolera, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kebersihan diri, makanan dan persekitaran yang baik.

Orang ramai, khususnya rakyat dan penduduk negara ini yang telah diberi kebenaran khas untuk pergi ke kawasan yang terjejas, disarankan untuk hanya mengunjungi premis menjual makanan ataupun restoran yang mempunyai persekitaran yang bersih, elakkan memakan salad ataupun ulam-ulaman yang diragui kebersihannya, minum air yang dimasak atau air botol (mineral) yang mempunyai intact seal dan pastikan makanan dimasak dengan sempurna.

Selain itu, sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembersih tangan atau sabun dengan air yang bersih selepas menggunakan tandas dan sebelum makan atau menyediakan makanan serta berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda penyakit kolera seperti cirit-birit terutama sekali selepas lawatan ke tempat-tempat yang terjejas.

Kenyataan menekankan bahawa Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi yang sedang berlaku di negara jiran dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangannya. Untuk maklumat lanjut mengenai penyakit ini, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123.