Tiada kes pekerja diberhentikan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Sejak 7 Ogos, Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) telah melakukan tinjauan dan kajian setakat minggu lalu dan mendapati tiada sebarang kes yang melibatkan isu kehilangan pekerjaan atau diberhentikan kerja.

Walau bagaimanapun terdapat sembilan orang pekerja yang berhenti sendiri atas sebab-sebab yang tertentu seperti ingin melanjutkan pengajian mereka selain faktor peribadi. 

Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pada petang tadi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut mengongsikan bahawa sejak 7 Ogos hingga minggu yang lepas, terdapat juga beberapa syarikat yang memerlukan pekerja baharu termasuk bagi memohon pengambilan perantis i-Ready.

Kira-kira 180 orang pekerja diperlukan dalam masa tersebut bagi memenuhi keperluan operasi perniagaan yang dijalankan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut menggalakkan agar para majikan seboleh-bolehnya untuk tidak membuang pekerja mereka di masa pandemik ini.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato turut menasihatkan para pekerja supaya memahami syarikat masing-masing yang mungkin memerlukan khidmat mereka untuk bekerja di pejabat dan seumpamanya bagi meneruskan perniagaan masing-masing.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan petang kelmarin. – Gambar Muiz Matdani