Tiada kes penyeludupan bersenjata di Sarawak

KUCHING, 27 NOV – Tiada kes penyeludupan bersenjata dilaporkan di Sarawak setakat ini, namun Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak tetap berwaspada bagi menghadapi kemungkinan itu ketika mengawal sempadan Malaysia-Indonesia dan perairan negara, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata PGA Sarawak juga mempunyai pasukan khas bagi memantau aktiviti penyeludupan di negeri berkenaan. “Kita tidak boleh mengambil ringan perkara yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini dan kita akan terus memastikan anggota-anggota yang melakukan kawalan sempadan sentiasa bersiap sedia menghadapi apa sahaja ancaman,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden awal pagi Selasa lepas yang menyaksikan anggota PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Sarjan Norihan, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 (Tembok Sempadan) di Padang Besar, Perlis.

Terdahulu, Aidi menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak yang baharu SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dengan Timbalan Ketua JSJ Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali yang sebelum ini memangku jawatan tersebut di Ibu Pejabat Polis kontinjen Sarawak di sini.

Sementara itu, Mohd Salahuddin, yang sudah 25 tahun berkhidmat, percaya dapat membantu mengurangkan lagi kes jenayah indeks di Sarawak

“Jenayah indeks di Sarawak secara purata dalam sehari adalah 40 kes ke bawah dan saya percaya kadar indeks ini boleh diturunkan lagi selepas ini,” katanya semasa berucap pada majlis itu. – Bernama