Tiada kluster baharu di Sarawak sejak Khamis

KUCHING, 24 OKT – Situasi COVID-19 di Sarawak kini semakin baik dengan tiada kluster baharu dilaporkan sejak Khamis lepas.

Malah, berdasarkan kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini, dua kluster lagi di negeri ini diisytihar tamat, menjadikan jumlah kluster aktif berbaki 38.

Kedua-duanya ialah Kluster Pusat Kemuyang Timur di Sibu dan Kluster Haidah di Bintulu yang tidak merekodkan kes baharu dalam tempoh 28 hari lepas.

Sementara itu, hanya 18 daripada 754 kes baharu COVID-19 hari ini melibatkan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator manakala baki 736 kes pula tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan.

“Ini menjadikan kumulatif kes positif di Sarawak kini 236,556,” menurut JPBN.

Sementara itu, JPBN berkata dari tempoh 16 Okt hingga semalam, terdapat sembilan kematian direkodkan di negeri ini melibatkan individu berusia 89 hingga 35 tahun. – Bernama