Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Tiada lagi insurans, sempadan tutup lewat

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Insurans perjalanan perubatan bagi keluar dan masuk ke negara tidak lagi diperlukan, waktu operasi pos-pos kawalan darat dilanjutkan serta tiada lagi agihan makanan dilaksanakan adalah antara pengenduran terbaharu langkah-langkah pengawalan COVID bagi Negara Brunei Darussalam bermula 1 Disember kelak.

    Pengenduran adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof mengumumkan perkara itu pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya, mulai 1 Disember, rakyat di negara ini dan warga asing yang ingin membuat perjalanan keluar dan masuk tidak lagi dimestikan mempunyai insurans perjalanan perubatan yang meliputi COVID.

    “Walau bagaimanapun, mereka yang berhasrat untuk mendapatkan insurans perjalanan perubatan untuk meragapkan hati atau mendapat ketenangan fikiran semasa berada di luar negara, adalah dialu-alukan,” kata Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Menteri di JPM semasa sidang media COVID. -Gambar oleh James Kon
    Sempadan Sungai Tujoh antara sempadan darat yang akan dilanjutkan operasi sehingga jam 10 malam.

    Menurut beliau, insurans perjalanan perubatan seharusnya meliputi apa jua kos perubatan atau rawatan yang mungkin diperlukan jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan semasa berada di luar negara yakni tidak terhad kepada jangkitan COVID sahaja.

    Yang Berhormat Pehin juga menambah bahawa rakyat Brunei yang hendak membuat perjalanan keluar negara adalah juga digalakkan untuk memaklumkan kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri mengenai butiran perjalanan keluar negara dengan mendaftarkan maklumat tersebut melalui MFA e-Register di laman sesawang kementerian berkenaan.

    “Pendaftaran ini akan memudahkan pihak kementerian tersebut mengenal pasti rakyat negara ini yang berada di luar negara jika berlaku sebarang insiden kecemasan di negara yang dikunjungi,” tambah beliau.

    Ketika menyentuh mengenai waktu operasi pos-pos kawalan darat, beliau menjelaskan, pos-pos kawalan imigresen Sungai Tujoh, Labu, Ujong Jalan dan Kuala Lurah akan dilanjutkan dari jam 6 pagi sehingga 10 malam, berbanding 6 pagi sehingga 8 malam sebelum ini. Manakala waktu operasi pos-pos kawalan laut iaitu Feri Terminal Serasa, Feri Kenderaan Serasa, Pelabuhan Muara dan Dermaga Kuala Belait adalah dikekalkan dari jam 6 pagi sehingga 8 malam.

    Bermula 1 Disember juga, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa pengagihan bantuan makanan bagi kes-kes COVID tidak lagi dilaksanakan.

    Dalam pada itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan terus menghulurkan bantuan kepada golongan-golongan yang memerlukan, sama seperti keadaan sebelum berlakunya pandemik COVID.

    “Jawatankuasa Pandu COVID-19 akan terus memantau keadaan semasa jangkitan COVID di samping memastikan apa jua langkah-langkah pengawalan yang dikenakan adalah bersesuaian, demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    “Apa jua perubahan dan pengemaskinian sudah setentunya akan segera dimaklumkan kepada orang ramai,” tambah Yang Berhormat Pehin.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...