Tiada lagi vaksinasi di Stadium Tertutup mulai 1 Julai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup akan menamatkan perkhidmatan pemberian vaksin secara rasmi bermula 1 Julai berikutan jangkitan COVID di negara ini terus berada dalam keadaan yang terkawal.

Pentupan pusat itu juga mengambil kira kadar vaksinasi COVID pada tahap tinggi bagi penduduk, di mana lebih 70 peratus rakyat dan penduduk negara ini telah menerima tiga dos vaksin dan jumlah yang datang setiap hari untuk mendapatkan vaksin COVID pula semakin berkurangan.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kementerian tersebut akan melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan di beberapa buah pusat kesihatan di Daerah Brunei dan Muara.

Bermula 2 Julai nanti, vaksinasi COVID boleh didapati di Pusat Kesihatan Berakas, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan iaitu pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan pukul 1:45 petang hingga 4 petang dengan waktu operasi tambahan pada Jumaat dan Ahad dari pukul 2 petang hingga 8 malam.

Pusat tersebut, bagaimanapun tidak dibuka pada hari kelepasan awam.

Sementara itu, bermula 4 Julai, vaksinasi COVID juga boleh didapati di Pusat Kesihatan Pengkalan Batu dan Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul
Bolkiah (PAPRSB), Kampung Sungai Asam pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan dari pukul 1:45 petang hingga 4 petang.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan bagi perkembangan terkini, boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn, laman media sosial @mohbrunei atau melalui aplikasi BruHealth.

Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup akan menamatkan perkhidmatan vaksinasi mulai 1 Julai kerana jangkitan COVID terkawal dan kadar inokulasi tinggi di negara ini.