Tiada lagi zon merah di Sarawak

KUCHING, 15 MEI – Setelah lebih sebulan dikategorikan sebagai zon merah dalam klasifikasi kes positif COVID-19, daerah Kuching hari ini kini berstatus zon kuning apabila bilangan kes baharu yang dilaporkan adalah kurang daripada 40 dalam tempoh 14 hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut mengumumkan tiada kes positif baharu penyakit itu dilaporkan di seluruh negeri ini bagi mengekalkan sifar kes sejak semalam.

“Enam kes positif COVID-19 yang dirawat di Hospital Umum Sarawak telah sembuh. Daripada keseluruhan jumlah kes (sebanyak 544 yang direkodkan), 74.45 peratus (405 kes) telah sembuh,” katanya, yang juga Timbalan Ketua Menteri, dalam sidang media harian.

Menurutnya memandangkan terdapat kluster baharu dikenali Kluster Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di luar Sarawak dilaporkan, semua individu yang baru tiba di negeri ini dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan akan diambil sampel dan disaring sebelum dikuarantin. – Bernama