Tiada masalah tanpa Vardy – Rodgers

LONDON, 26 JAN – Pengurus Leicester, Brendan Rodgers berharap Jamie Vardy akan pulih segera selepas menjalani pembedahan pangkal paha tetapi tetap yakin skuadnya mampu mengekalkan prestasi baik tanpa penyerang itu.

Penyerang England itu telah menjalani pembedahan selepas mengalami masalah hernia dan minggu lalu Rogers berkata dia akan diketepikan untuk beberapa minggu.

Leicester kini berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester United selepas tiga kemenangan berturut-turut.

Vardy gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhirnya sebelum terpaksa berehat tetapi Leicester masih mampu menang tiga perlawanan dan seri dua kali.

Juara EPL 2016 itu menewaskan kelab Liga Dua, Brentford 3-1 dalam perlawanan peringkat keempat Piala FA Ahad lalu tanpa Vardy dalam pasukan.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers (kanan) ketika meraikan kemenangan perlawanan pusingan keempat Piala FA Inggeris menentang Brentford FC pada 24 Januari. – AP

“Dia kelihatan kecewa seperti anda jangka tetapi kami berharap dia segera sembuh dan kembali secepat mungkin,” kata Rodgers.

“Bagaimanapun, kami tidak terjejas tanpa Jamie. Dia salah seorang pemain terbaik dalam liga tetapi kemajuan kami adalah mengenai kerjasama ber-pasukan. “Kami menjaringkan 53 gol musim ini. Jamie menjaringkan 13 gol dan 40 gol lagi daripada pemain lain.”

Ayoze Perez dipilih sebagai pengganti Vardy tetapi akan menghadapi persaingan dari Kelechi Iheanacho.

Pasangan itu hanya mempunyai lima gol di antara mereka, tetapi Rodgers merasakan itu adalah refleksi menjadi pilihan kedua selepas Vardy.

“Kami memiliki Jamie dalam serangan, jadi kami memiliki Ayoze pada posisi yang dia selesa,” kata Rodgers.

“Dia telah menjadi pemain yang sangat penting bagi kami. Mungkin tidak terasa bagi orang yang menonton tetapi dia akan memainkan peranan yang sangat penting bagi kami di musim ini.” – AFP