Tiada Messi, tiada masalah bagi Barca

MADRID, 16 OGOS – Barcelona memulakan hidup tanpa Lionel Messi dengan menewaskan Real Sociedad 4-2 dalam perlawanan pembukaan mereka di La Liga di Stadium Camp Nou, semalam ketika penyokong mengakui mereka seperti berada di tempat asing.

Kapten pasukan Gerard Pique menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 dan gol ke-50 peribadinya buat kelab itu. Martin Braithwaite meledak gol pada masa kecederaan pada separuh masa pertama dan minit ke-59. Manakala Sergi Roberto menambah gol keempat pada penghujung perlawanan.

Lebih 20,000 peminat menyaksikan perlawanan semalam ketika penonton kembali buat pertama kali sejak COVID-19 melanda.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menahan nafas mereka pada satu tahap apabila Sociedad bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk merapatkan kedudukan 2-3 menerusi gol pemain berusia 20 tahun, Julen Lobete pada minit ke-82 dan sepakan percuma 30 meter oleh kapten pasukan, Mikel Oyarzabal tiga minit kemudian.

Messi pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or mengakhiri karier dua dekadnya di Barcelona minggu lalu dan berpindah ke PSG.

Aksi pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets ketika bersaing dengan pemain tengah Real Sociedad, David Silva semasa perlawanan La Liga di Stadium Camp Nou semalam. – AFP

Kenangan Messi cukup kuat di Camp Nou sekalipun pengurusan kelab menanggalkan foto gergasi bintang Argentina itu dari pintu masuk sebagai kesedaran terhadap perpindahannya ke Perancis.

Beberapa buah sepanduk diletakkan sebelum perlawa-nan bermula menunjukkan kemarahan peminat terhadap presiden kelab Joan Laporta.

Di Camp Nou, peminat yang ramai hadir bersorak “Messi! Messi!”. Beberapa poster menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

“Penyokong bersama kami, mereka mahu melihat bola sepak,” kata Pique.

“Kami tahu mereka akan bertindak sedemikian. Kami semua tahu apa yang ditampilkan Leo, tetapi semuanya berubah dan kami harus meneruskan perjuangan.” – AFP