Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Tiada negara dalam senarai hijau

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Jawatankuasa Pandu COVID-19 memutuskan untuk mengeluarkan semua negara buat sementara waktu daripada senarai Travel Green List yang telah diperkenankan sebelum ini.

    Oleh itu, tidak ada negara yang diletakkan dalam senarai hijau yang akan bermula pada 1 Januari 2022.

    Pengeluaran negara-negara itu buat sementara waktu daripada senarai tersebut adalah mengambil kira keadaan COVID-19 pada masa sekarang, khususnya peningkatan kes di beberapa buah negara dan ancaman varian Omicron, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) semasa Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Brunei meletakkan empat negara dalam senarai hijau iaitu United Kingdom, Singapura, Australia dan China. United Kingdom dikeluarkan daripada senarai itu pada 23 Disember lalu, manakala tiga negara-negara selebihnya dikeluarkan sementara waktu hari ini.

    Yang Berhormat Dato dalam kenyataan merujuk kepada kenyataan media JPM pada 22 Disember lalu, di mana Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan mengenai sukat-sukat tambahan pada garis panduan bagi perjalanan keluar dan masuk negara semasa Fasa Awal Endemik.

    Senarai negara dalam senarai hijau yang diumumkan sebelum ini kini ditarik balik disebabkan situasi koronavirus terutama kebimbangan terhadap varian Omicron yang kini menular mencecah rekod di negara-negara di seluruh dunia.

    Beliau menjelaskan lanjut bahawa sebelum membuat perjalanan masuk ke Negara Brunei Darussalam, setiap individu adalah dipersyaratkan untuk menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas dari negara asal, tanpa memerlukan ujian pantas antigen (ART).

    Setiap individu juga dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri mandatori di hotel-hotel yang dibenarkan sahaja.

    Setiap perjalanan masuk dikehendaki untuk menjalani ujian ART sebaik sahaja tiba di negara ini dan juga menjalani ujian RT-PCR pada hari ke-5 selepas tiba, di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa perjalanan keluar negara mustahak (essential) adalah dibenarkan bagi rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang telah menerima dua dos vaksinasi COVID-19 dalam tempoh 14 hari hingga tiga bulan dan bukan lagi enam bulan, sebelum berlepas atau yang telah menerima dos penggalak.

    Beliau menyatakan lagi bahawa warganegara asing yang berhasrat untuk membuat perjalanan masuk ke Negara Brunei Darussalam atas sebab-sebab mustahak masih diperlukan untuk mendapatkan kebenaran Entry Travel Pass.

    Manakala itu, bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berhasrat untuk membuat perjalanan keluar negeri atas urusan mustahak dikehendaki untuk mendapatkan kebenaran Exit Travel.

    Garis panduan dan borang-borang permohonan dalam talian boleh didapati di laman sesawang JPM.

    Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari semasa ke semasa.

    Bagi pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi talian 120 atau e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn (bagi perjalanan keluar negeri) dan infoentrytravel@immigration.gov.bn (bagi permohonan Entry Travel Pass).

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...