‘Tiada pelan’ pertemuan Rouhani-Trump

TEHRAN, 16 SEPT – Iran berkata hari ini bahawa tiada rancangan bagi Presiden Hassan Rouhani untuk bertemu rakan sejawatannya Amerika Syarikat, Donald Trump pada perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan datang, ketika ketegangan memuncak antara seteru berhubung serangan ke atas tapak minyak Saudi.

Kuasa-kuasa Eropah cuba untuk meredakan ketegangan yang meruncing sejak Trump secara sebelah pihak mengundurkan AS dari perjanjian nuklear 2015 dan mengenakan semula sekatan ke atas Iran.

Rumah Putih berkata kelmarin yang Trump akan bertemu Rouhani semasa Perhimpunan Am PBB di New York minggu hadapan.

Meskipun tuduhan dari Washington yang Tehran patut disalahkan bagi serangan hujung minggu yang menghancurkan separuh daripada pengeluaran minyak Arab Saudi dan mencetuskan harga minyak mentah bertambah dalam pasaran global.

“Kami tidak merancang bagi pertemuan ini mahupun saya rasa perkara seumpama itu mungkin terjadi di New York,” kata jurucakap kementerian luar negeri Iran, Abbas Mousavi dipetik oleh agensi berita separa rasmi ISNA.

“Seperti yang kami nyatakan terdahulu, jika Amerika kembali ke JCPOA dan membatalkan pengganasan ekonomi mereka, mereka boleh kembali untuk menyertai suruhanjaya dan berunding,” tambah Mousavi.

Beliau merujuk kepada suruhanjaya dalam rangka kerja bagi Pelan Tindakan Komprehensif Bersama, persetujuan 2015 yang memberi Iran janji kebebasan daripada sekatan sebagai balasan atas kekangan terhadap program nuklearnya.

Iran sekali lagi menyangkal pertuduhan daripada AS yang ia adalah dalang di sebalik serangan Saudi, mengatakan sebaliknya bahawa ia berpunca daripada campur tangan pasukan gabungan yang diketuai oleh sekutu AS, Arab Saudi dalam perang Yaman.

“Yaman telah diserang selama lima tahun, mengorbankan ramai orang dan kanak-kanak tiada tempat berlindung,” kata jurucakap kerajaan, Ali Rabiei.

Serangan Saudi adalah ‘punca perang lima tahun ini ke atas rakyat yang tidak mampu mempertahankan diri yang menjadi akar kepada ketidakselamatan di rantau itu’, ujarnya kepada sidang berita di Tehran. – AFP