MADRID, 24 MEI – Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique hari ini tidak menyenaraikan pemain pertahanan veteran Sergio Ramos dari skuad Euro 2020 tetapi memanggil pemain tengah Aymeric Laporte, yang baru-baru ini menukar kewarganegaraan bola sepaknya.
Ramos, kapten Real Madrid yang berusia 35 tahun telah mengalami kecederaan musim ini dan hanya tampil lima kali sejak awal tahun ini.
“Itu keputusan yang sangat sukar tetapi beliau tidak dapat bermain musim ini dan hampir tidak berlatih sejak Januari,” kata Luis Enrique pada sidang media ketika mengumumkan senarai 24 orang skuadnya.
“Saya menelefonnya semalam, ia sukar. Saya merasa tidak selesa, kerana beliau sangat profesional dan beliau banyak membantu pasukan kebangsaan. Dan beliau masih boleh membantu pasukan pada masa depan. Tetapi saya harus mencari yang terbaik untuk skuad,” tambahnya.
Ketiadaan Ramos bermakna tidak ada seorang pun pemain Madrid dalam skuad Sepanyol.
Laporte, pemain pertahanan Manchester City berusia 26 tahun, dilahirkan di barat daya Perancis dan dipanggil tiga kali untuk Perancis tetapi tidak pernah beraksi di padang.
Walaupun jurulatih Perancis Didier Deschamps mempunyai banyak pemain pertahanan tengah untuk dipilih, Luis Enrique mempunyai lebih sedikit pilihan sejak Gerard Pique bersara pada 2018. – AFP