Tiada penahanan darjah pelajar bagi kedatangan tidak cukup

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Memandangkan situasi pandemik COVID-19 di negara ini dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan, seperti yang juga digariskan dalam Sistem Pendidikan Negara 21 (SPN21), penahanan darjah adalah ditiadakan bagi para pelajar yang mempunyai jumlah kedatangan yang tidak mencukupi.

Walau bagaimanapun, apa yang diperlukan ketika ini adalah kerjasama daripada ibu bapa dalam memastikan kedatangan para pelajar tidak terjejas meskipun dalam pembelajaran secara dalam talian kerana jika para pelajar gagal mengikutinya akan menjejaskan pembelajaran mereka.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman menegaskan perkara itu bagi menjawab persoalan mengenainya yang dikemukakan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menyentuh mengenai pemberian pinjaman peranti kepada para pelajar yang memerlukan, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Ekonomi untuk mengusahakan cara untuk menyediakan bantuan tersebut secepat mungkin.

Selain itu, buat masa ini antara usaha bagi membantu para pelajar yang tidak mempunyai peranti bagi mengakses pembelajaran mereka secara dalam talian akan diberikan home pack learning (HPL). 

Di samping itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa terdapat juga sesetengah pelajar kreatif bersama guru mereka menggunakan telefon bimbit bagi meneruskan pembelajaran dan pengajaran mereka secara dalam talian.