KOTA KINABALU, 29 Mei – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tiada pengecualian dibuat kerajaan negeri berhubung larangan eksport kayu balak dan larangan itu kekal sehingga beberapa isu diselesaikan.
Mohd Shafie dalam satu kenyataan hari ini berkata, apa yang perlu dilakukan adalah perlu dilakukan dengan segera dan beliau tidak akan melayan sebarang usaha melobi daripada mana-mana pihak dan keputusan mengenakan larangan terhadap kayu balak, yang mana untuk sementara, disahkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri kelmarin.
“Terdapat keputusan yang serius perlu diambil berhubung industri pembalakan di Sabah dan saya perlu melakukannya demi kepentingan rakyat. Saya sedar ia adalah keputusan yang sukar untuk dibuat tetapi ia perlu dilakukan. Hakikatnya, ia perlu dilaksanakan lama dahulu.
“Larangan itu mungkin sementara atau ia mungkin untuk jangka panjang dan perkara ini akan dikaji secara mendalam. Saya mahukan kayu balak kita diproses di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Menteri berkata, Jabatan Perhutanan Sabah akan mengarahkan semua pemain industri – pemegang konsesi juga pengendali Unit Pengurusan Hutan (FMU) – terhadap keputusan kabinet dan untuk mereka mematuhinya berkuatkuasa serta merta. – Bernama