Tiada peningkatan kes COVID mendadak

KUALA LUMPUR, 12 MEI – Meskipun kadar kebolehjangkitan (R-Naught) COVID di Malaysia meningkat namun tiada sebarang peningkatan kes mendadak dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehjangkitan iaitu jumlah kes baharu COVID, jumlah kes pulih dan mengambil kira faktor komuniti yang belum dijangkiti COVID serta komuniti yang telah menerima vaksinasi.

“Kita lihat kadar kebolehjangkitan meningkat tetapi kebanyakan kes adalah kategori satu dan dua sebagaimana kita jangkakan selepas Aidilfitri bahawa kes akan meningkat tetapi hanya kes bagi kedua-dua kategori ini.

“Kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) masih kurang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih ada kemampuan menerima pesakit, kita tidak nampak kes meningkat dengan mendadak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Evolusi Baju Seragam Jururawat di Muzium Negara, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM menjangkakan peningkatan kes baharu selepas pembukaan semula sempadan 1 April, namun liputan vaksinasi tinggi dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat Malaysia membantu pe-ngawalan wabak itu. 

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan kes denggi mencatatkan penurunan dua tahun lepas kerana orang ramai mengamalkan langkah kesihatan awam.

“Kalau kita mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam, kita bukan hanya mengawal COVID tetapi kita mengawal penyakit berjangkit yang lain.

“Walaupun kita ada vaksin, kita masih mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam, jadi dengan dua perkara itu dan ditambah dengan ubat antiviral kita mungkin lebih baik lagi dapat membendung penularan COVID dalam negara,” katanya.

Selain berterima kasih atas sumbangan dan jasa jururawat di Malaysia, Dr Noor Hisham turut merakamkan penghargaan terhadap usaha Jabatan Muzium Malaysia mengadakan pameran sisipan baju seragam jururawat sebagai menghargai petugas barisan hadapan. – Bernama

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berswafoto bersama para jururawat sempena Sambutan Hari Jururawat dan Pelancaran Evolusi Pakaian Seragam Jururawat 2022 di Muzium Negara, Malaysia, kelmarin. – Bernama