Tiada penonton baki Jelajah PGA

LOS ANGELES, 14 JULAI – Baki Jelajah PGA 2019-2020 akan dilangsungkan tanpa kehadiran peminat ketika Amerika Syarikat bergelut dengan peningkatan pandemik koronavirus, menurut pegawai kejohanan kelmarin.

Dalam kenyataan tersebut turut menyebutkan bahawa baki kejohanan dalam jadual tidak akan dilangsungkan dengan kehadiran penonton kerana kerisauan mengenai COVID-19.

Kesemua lima kejohanan sejak Jelajah PGA kembali dari penggantungan koronavirus pada bulan Jun telah diadakan tanpa kehadiran penonton. Pada mulanya, para penonton adalah dibenarkan untuk hadir dalam Kejohanan Memorial di Ohio tetapi rancangan tersebut telah dibatalkan selepas peningkatan kes koronavirus.

Pengumuman yang dibuat kelmarin tersebut bermakna penonton tidak dibenarkan hadir semasa kemuncak musim, yang merangkumi Jelajah Kejohanan Siri Playoff Piala FedEx, yang diadakan pada 4 hingga 7 September di Atlanta.

“Keputusan yang dibuat bukanlah mudah,” menurut kenyataan dari pengarah eksekutif Jelajah Kejohanan, Allison Fillmore, yang menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘yang terbaik untuk semua yang terlibat’.

Dua lagi pusingan playoff Piala FedEX, Northern Trust di TPC Boston pada 20 hingga 23 Ogos, dan Kejohanan BMW di Padang Olympia, Illinois, turut terjejas.

PGA Amerika telah mengumumkan bahawa penonton tidak dibenarkan di Kejohanan PGA di Harding Park, San Francisco pada 6 hingga 9 Ogos. – AFP