Tiada penularan dalam negara

PUTRAJAYA, 22 JUN – Tiada kes penularan COVID-19 dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia dilaporkan hari ini selepas pertama kali direkodkan pada 9 Jun lepas, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 15 kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,587 kes.

Daripada kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan terdiri daripada warganegara Malaysia, manakala kesemua 13 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 289 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Bagi kes melibatkan bukan warganegara, beliau berkata satu daripadanya adalah kes saringan pra pembedahan di Hospital Selayang, Selangor, manakala 12 lagi daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata, dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagi Kluster Pedas, sebanyak 316 kes daripada 957 saringan didapati positif COVID-19 yang terdiri daripada 844 kontak di tempat kerja dan 113 ahli keluarga.

Datuk Dr Noor Hisham berkata kes positif bagi kluster tersebut melibatkan 14 kes warga Malaysia dan 302 kes lagi bukan warganegara.

“Bagi bukan warganegara, 163 kes warga Nepal; 67 kes warga Bangladesh; 35 kes warga Myanmar; 31 kes warga Indonesia; empat warga India; satu kes warga Vietnam; dan satu kes warga Kemboja. – Bernama