KOTA KINABALU, 13 April – Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini dimaklumkan kerajaan negeri tidak mempunyai rancangan khusus untuk menjadikan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah sebagai kolej Islam pertama di Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) kini sedang menumpukan perhatian kepada usaha menaik taraf dan mewujudkan SMAN di setiap bahagian di seluruh Sabah.
“Jika kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf bangunan sekolah yang terlibat disempurnakan sepenuhnya, barulah kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada penubuhan kolej Islam.
“Bagaimanapun, kerajaan melalui Jheains berpendapat bahawa langkah paling mudah untuk merealisasikan sebuah kolej Islam Sabah dan ekonomik adalah dengan menaik taraf SMAN Toh Puan Hajah Rahmah kerana ia adalah institusi pendidikan Islam di Sabah yang ikonik dan mantap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Bongawan) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Mohd Ariffin berkata Jheains kini dalam proses mewujudkan SMAN di seluruh Sabah yang mana sebahagiannya sedang dalam pembinaan iaitu di Kunak, Keningau, Tambunan, Papar dan Beaufort, bagi memenuhi permintaan ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka belajar di SMAN.
Beliau berkata, dengan bertambahnya SMAN baru yang mampu menampung antara 200 hingga 300 pelajar, ia akan mengurangkan tumpuan ibu bapa kepada SMAN Toh Puan Hajah Rahmah dalam menghantar anak-anak mereka untuk ke sekolah pendidikan berteraskan agama Islam dan akademik.
Sejak ditubuhkan pada 1975, SMAN Toh Puan Hajah Rahmah telah melahirkan kira-kira 2,500 pelajar yang kini antaranya menjadi golongan profesional, pemimpin serta ulama selepas melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara. Mengenai bangunan lama SMAN Toh Puan Hajah Rahmah di Sembulan, Mohd Ariffin berkata sebahagian blok bangunannya dijadikan Tadika manakala sebahagian lagi menempatkan Sekolah Agama Negeri (SAN) Kota Kinabalu serta pusat tahfiz. – Bernama