Tiada perjanjian diumumkan

KABUL, 12 OGOS – Rundingan pusingan terbaharu antara Taliban dan Amerika Syarikat berakhir hari ini tanpa tanda-tanda satu perjanjian damai dicapai untuk Afghanistan, ketika kedua-dua belah pihak mahu berbincang dengan ketua masing-masing bagi langkah selanjutnya.

Seorang jurucakap Taliban minggu lalu mengatakan bahawa rundingan lapan pusingan akan diakhiri dengan satu perjanjian bagi menamatkan perang hampir 18 tahun, paling lama bagi Amerika.

Kedua-dua pihak sudah pun berbincang satu persetujuan yang mana pasukan AS akan berundur dari Afghanistan dan Taliban pula akan menjamin negara itu tidak akan kembali menjadi platform bagi serangan pengganas global.

Utusan AS Zalmay Khalilzad mengatakan rundingan bermula 3 Ogos lalu di negara Teluk, Qatar ‘amat membina’ dan dia akan ke Washington bagi perbincangan.

Manakala jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menggelar rundingan ‘sebagai panjang dan bermanfaat.’ Tidak seorang daripadanya memberikan butiran terperinci mengenai hasilnya.

Taliban terus melancarkan serangan hampir setiap hari di seluruh Afghanistan meskipun sedang berunding dengan AS. Serangan itu kebanyakannya menyasarkan tentera dan pegawai kerajaan Afghan. – AP