‘Tiada pertunjukan bunga api tahun ini’

LONDON, 18 SEPT – Pertunjukan bunga api sehari sebelum Tahun Baharu di London, yang biasanya menarik puluhan ribu penonton, tidak akan diadakan pada 31 Disember disebabkan pandemik koronavirus, kata datuk bandar Sadiq Khan hari ini.

“Tidak adanya bunga api pada 31 Disember tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya,” beritahunya kepada radio LBC. “Kami tidak mampu menghadapi risiko mempunyai jumlah orang yang ramai berkumpul sehari sebelum Tahun Baharu.”

Khan menambah pentadbirannya sedang berusaha untuk mengemukakan satu acara perayaan di mana orang boleh ‘berseronok di tengah keselesaan dan keselamatan bilik tamu mereka di depan TV.’

Britain telah menjadi negara paling teruk terjejas di Eropah akibat pandemik koronavirus, dengan hampir 42,000 kematian dilaporkan.

Kerajaan mengingatkan ia mungkin mengenakan semula sekatan di seluruh England jika kawalan sosial baharu di kawasan paling teruk terjejas gagal membendung peningkatan dalam kes.

Tengah malam pada 31 Disember juga menandakan saat apabila UK memperoleh kedaulatan sepenuhnya, pada tarikh luput tempoh peralihan berikutan perpisahan Brexit dari Kesatuan Eropah pada Januari.

Keputusan untuk membatalkan pertunjukan bunga api di London adalah terpulang kepada datuk bandar, beritahu jurucakap Johnson kepada wartawan.

Ketika ditanya sama ada Downing Street merancang menyambut peristiwa bersejarah Brexit dengan perayaannya sendiri, beliau berkata mana-mana rancangan akan diumumkan apabila tiba masanya, ‘tetapi bukan sekarang.’ – AFP

Gambar fail pada 31 Disember 2019 menunjukkan orang ramai menyambut Tahun Baharu di tengah London. – AFP