Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada rakyat Malaysia terlibat

    TAWAU, 2 Jan – Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau hari ini mengesahkan hanya rakyat republik itu terlibat dalam tragedi feri ekspres Anugerah terbalik pagi semalam di perairan Sungai Kayan, Tanjung Selor, Kabupaten Bulungan di Kalimantan Utara, Indonesia.

    Konsulnya Krishna Djelani ketika dihubungi Bernama, berkata tiada rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi 8.15 pagi itu dan setakat ini insiden berkenaan dipercayai mengorbankan lapan nyawa daripada 51 penumpang feri itu.

    Beliau berkata dua daripada lapan yang maut itu merupakan adik beradik perempuan berasal dari Kabupaten Berau di Provinsi Kalimantan Timur yang tinggal menyewa di Tawau kerana sedang mendapatkan pendidikan di daerah ini.

    “Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Natasia Johan Kurniawan,16, dan kakaknya Felicia Johan Kurniawan,18, yang masing-masing belajar di Sabah Chinese School dan Institute Science & Management di sini,” katanya.

    Krishna berkata kedua-dua pelajar perempuan itu sepatutnya pulang ke Tawau menggunakan laluan udara, malam tadi.

    Sebelum ini portal berita abc News memetik laporan The Associated Press berkata insiden itu berlaku 8.15 pagi semalam (waktu Indonesia) ketika feri ekspres Anugerah membawa 51 penumpang dalam perjalanan dari Tanjong Selor ke Tarakan di Kalimantan Utara.

    Menurut laporan itu, dipercayai 40 mangsa berjaya diselamatkan, lapan maut dan selebihnya masih hilang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda