Tiada rakyat M’sia dijangkiti monkeypox

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan yang tular di sosial media mengenai seorang rakyat Malaysia di Singapura dijangkiti penyakit ‘monkeypox’ atau cacar monyet.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini, berkata dakwaan tersebut adalah berita palsu dan menegaskan tiada kes jangkitan penyakit itu dikesan di negara ini.

“Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura menjadi kontak kepada kes ‘monkeypox’ itu.

“KKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa tiada kejadian kes ‘monkeypox’ dikesan atau dilaporkan berlaku di Malaysia. Orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat atau berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kejadian ‘monkeypox’ yang didakwa berlaku di Johor dan Kuala Lumpur. – Bernama