BARCELONA, 27 April – Real Madrid sekali lagi memudahkan ketiadaan Cristiano Ronaldo ketika mereka membenam Deportivo la Coruna 6-2 untuk mengekalkan kedudukan dalam perebutan gelaran La Liga semalam.
Madrid dan Barcelona terikat 78 mata di tangga teratas, tetapi Real memiliki satu perlawanan di tangan ke atas pesaing gelaran mereka.
Bos Madrid, Zinedine Zidane membuat sembilan pertukaran daripada pasukan yang tewas 3-2 kepada Barca pada Ahad lalu untuk menghidupkan semula perebutan gelaran mereka.
Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale yang cedera digugurkan dari skuad Madrid bagi tiga perlawanan liga di gelanggang luar, tetapi sekali lagi ketiadaan mereka tidak menjejaskan pasukan.
Alvaro Morata menjaringkan gol untuk memberikan pasukan pelawat permulaan sempurna selepas kurang dari seminit perlawanan berlangsung. James Rodriguez kemudian menambah gol kedua menerusi hantaran lintang Lucas Vazquez ketika Madrid mengancam untuk menguasai perlawanan pada 20 minit pertama.

Bagaimanapun, juara Eropah itu hanya mempunyai satu permainan bersih dalam 15 perlawanan lalu mereka dan pertahanan mereka dibolosi sekali lagi apabila Florin Andone menjaringkan gol 10 minit sebelum separuh masa.
Vazquez, mengekalkan pendahuluan dua jaringan Real sebelum separuh masa pertama dan pasukan kendalian Zidane hampir saja mencapai jumlah jaringan dua digit dalam penguasaan separuh masa kedua.
Morata memberi hantaran kepada Rodriguez bagi gol keduanya, sebelum Isco melengkapkan persembahan individu yang menarik dengan menjaringkan gol 13 minit sebelum tamat perlawanan.
Joselu mendapatkan satu lagi jaringan bagi Deportivo dengan tandukan menarik, tetapi Real memberikan kata akhir dengan jaringan Casemiro. – AFP