Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiada solat Jumaat dipatuhi di seluruh negara

    KUALA LUMPUR, 20 MAC – Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari ketiga hari ini menyaksikan semua masjid di seluruh negara ditutup dan tiada solat Jumaat diadakan.

    Tinjauan Bernama mendapati, masjid ditutup sambil ditampal notis di pagar masuk menyatakan penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti lain di masjid dalam tempoh pelaksanaan perintah tersebut dari 18 hingga 31 Mac dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19. Tinjauan Bernama juga turut mendapati, ada juga pihak pengurusan masjid seperti di Kedah, Negeri Sembilan dan kebanyakan negeri yang menampal ‘Tiada Solat Jumaat’ dan kenyataan media daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi membolehkan para jemaah benar-benar memahami keadaan semasa.

    Semalam, Zulkifli  berkata semua masjid di seluruh negara akan meng-hentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, bagi membantu Malaysia memutuskan rantaian virus COVID-19.

    Anggota polis juga dilihat melakukan rondaan di sekitar kawasan masjid seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi perintah kawalan tetapi masih ada sebilangan kecil jemaah termasuk warga asing yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat seperti di Masjid Mu’adz Bin Jabal, Setiawangsa, di sini dan di Kota Bharu, Kelantan tetapi pulang kemudian setelah menyedari perkara sebenar.

    Pentadbiran Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di Shah Alam, Selangor pula dilihat menutup pagar utamanya dan menampal notis pemberitahuan mengenai penangguhan sementara semua aktiviti di masjid berkenaan selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan juga kerajaan. Lain pula kisah di beberapa masjid di Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang yang mana ada pihak mengambil kesempatan penutupan sementara aktiviti dengan mencuci dan membersihkan kawasan masjid.

    Pada keseluruhannya hanya imam, bilal dan siak yang bertugas sahaja dibenarkan berada di masjid termasuk untuk melaungkan azan Zohor, malah, Jabatan Agama Islam Perak menerusi Facebook meminta sesiapa yang terlihat mana-mana pihak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan agar membuat laporan kepada pihaknya. – Bernama

    Pembantu Hal Ehwal Islam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ustaz Abdull Rasyid Kamarudin melaungkan azan Zohor bagi menggantikan Solat Jumaat susulan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 ketika tinjauan Bernama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda