Tiada subsidi kit ART bagi sektor swasta

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Pada fasa peralihan ini nanti, hanya kakitangan kerajaan yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dibenarkan untuk bekerja di pejabat.

Maka dalam hal ini mereka dikehendaki untuk melakukan ujian ART bagi setiap dua minggu namun dalam hal ini segala kos peruntukan kit ujian ART tersebut adalah ditanggung oleh pihak kerajaan.

Perkara tersebut disentuh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media, hari ini, berhubung persoalan kos pembiayaan dan subsidi bagi penggunaan kit ujian ART yang akan menjadi sebahagian daripada norma baharu di mana sektor kerajaan mahu pun swasta akan menjalani ujian setiap dua minggu dalam sama-sama meniti fasa peralihan pada masa terdekat ini.

Tambahnya, kos perbelanjaan kit ujian ART berkenaan bagi sektor swasta adalah menjadi tanggungjawab antara majikan dan pekerja mereka.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa tiada pemberian subsidi diperuntukkan bagi kit ujian ART tersebut buat pada masa ini kerana perkara ini berhubung keperluan operasi sektor masing-masing.