Tiada suntikan vaksin, jika tiada janji temu

KUCHING, 9 JUN – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini dan Institut Kemahiran Belia Negara di Miri hanya bagi mereka yang mempunyai janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Komandan PPV itu, Dr Cheong Yaw Liang dalam kenyataan hari ini berkata orang awam yang datang ke pusat itu untuk ‘mencuba nasib’ tidak akan dilayan.

Beliau berkata mereka tidak perlu datang ke pusat itu tetapi perlu menunggu sehingga giliran mereka dipanggil.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak mempedulikan sebarang pesanan yang meminta butiran peribadi mereka untuk tujuan vaksinasi. Pusat vaksin tidak menggunakan platform sedemikian untuk memaklumkan kepada orang awam,” katanya. – Bernama