Syarikat produksi Studio Kembara Sdn Bhd bakal menerbitkan filem prekuel Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan selepas kejayaan karya itu menambat hati penonton sehingga meraih kutipan luar biasa RM97 juta sepanjang ditayangkan di pawagam.
Penerbitnya, Rahman Md Dali bagaimanapun memberitahu karya terbaharu terbitan syarikatnya itu tidak akan menggunakan khidmat Syamsul Yusof sebagai pengarah serta dua pelakon utamanya, Dato Adi Putra dan Beto Kusyairi.
Menyangkal wujud sebarang masalah di antara mereka, Rahman sebaliknya menjelaskan jalan cerita prekuel tersebut tidak melibatkan watak dimainkan oleh Adi dan Beto serta mahu memberi peluang kepada pengarah lain menerajui filem berkenaan.
“Sebenarnya memang sudah ada perancangan untuk penggambaran filem berkenaan malah kami telah pun menandatangani kontrak dengan beberapa orang pelakon.
“Syamsul, Adi dan Beto tidak terlibat disebabkan belum wujud watak mereka dalam prekuel. Manakala tugas pengarah pula saya mahu beri peluang kepada orang lain… takkan nak bergantung selamanya kepada Syamsul,” katanya kepada mStar.

Rahman berkata demikian ketika majlis meraikan media bersama Studio Kembara yang berlangsung di Bangi, Selangor pada Khamis.
Sementara itu, menjelaskan hubungannya dengan Adi dan Syamsul yang dikatakan bermasalah, Rahman menjelaskan tidak wujud sebarang konflik di antara mereka.
Sebaliknya kata Rahman, kekangan masa membuatkan mereka jarang dapat bertemu atau bertanya khabar menerusi telefon.
“Saya nak jelaskan di sini bahawa hubungan kami baik-baik sahaja. Ketika promosi Mat Kilau di Jakarta sebelum ini pun Adi ada cakap tiada masalah.
“Cuma kami memang jarang berhubung disebabkan komitmen kerja masing-masing. Tentang masalah komunikasi yang terjadi sebelum ini, saya sudah jelaskan dan ia selesai,” ujarnya. – Agensi