Tiada tegahan Tarian Singa

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Tarian Singa atau Naga (gambar) yang sering dipertunjukkan pada majlis sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak akan ditegah di negara ini.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengesahkan perkara itu bagi menafikan penyebaran maklumat mengenai tegahan Tarian Singa yang disebarkan melalui media cetak dan media sosial beberapa hari yang lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, Negara Brunei Darussalam tidak pernah menegah rakyat dan penduduk masyarakat Tiong Hua di negara ini merayakan Tahun Baru Cina.

Walau bagaimanapun, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mempunyai garis pandu dalam mempertimbangkan permohonan bagi pertunjukan Tarian Singa atau Naga sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pada lazimnya, semenjak tahun 2012, permohonan untuk mengadakan tarian tersebut sempena Tahun Baru Cina dibenarkan dalam tempoh tiga hari sahaja bergantung kepada pensyaratan yang berkuat kuasa masa ini.

Sehubungan itu, permohonan untuk mengadakan pertunjukan tarian itu pada tahun ini juga dibenarkan dalam tempoh tiga hari sahaja bermula 28 Januari sehingga 30 Januari 2017.

Manakala tempat-tempat yang dikhususkan bagi pertunjukan itu ialah perkarangan rumah kediaman ahli-ahli jawatankuasa pengelola sekolah, penasihat-penasihat dan orang-orang terkenal dalam masyarakat Cina secara tertutup, kawasan tokong-tokong (Tepikong) secara tertutup dan dewan-dewan sekolah atau dewan tertutup persatuan berkenaan.

Pertunjukan Tarian Singa/Naga hendaklah bukan berupa pesta dan tidak boleh diadakan di hotel-hotel, restoran-restoran, kedai-kedai, gedung-gedung perniagaan dan termasuklah di jalan-jalan raya.

Menurut kenyataan itu lagi, Bahagian Pengawalan Hiburan Awam dan Penerbitan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menerima lima permohonan bagi persembahan tarian itu sempena Tahun Baru Cina 2017.

Kesemua permohonan telah dibenarkan mengikut pensyaratan yang berkuat kuasa pada masa ini.

Untuk itu, mana-mana persatuan atau sekolah atau badan yang hendak membuat permohonan atau pertanyaan lanjut bolehlah datang ke bahagian yang dinyatakan atau menghubungi ketua Unit Pengawalan Hiburan Awam dan Penerbitan, Bahagian Pengawalan Hiburan Awam dan Penerbitan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Bandar Seri Begawan di talian 2223225 sambungan 332/333/334/335/327/330 atau e-mel [email protected]