Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Tiada ubat batuk tercemar dijual di sini

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Empat produk ubat batuk keluaran syarikat Maiden Pharmaceuticals, India yang dikaitkan dengan kematian dan kecederaan buah pinggang di negara luar, tidak pernah diimport dan dijual untuk kegunaan orang ramai di Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan itu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, berikutan amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang empat produk ubat batuk jenis sirap yang dipercayai mengandungi jumlah bahan kimia toksik yang tinggi iaitu diethylene glycol dan ethylene glycol.

    Produk terbabit telah dikaitkan dengan tragedi kematian 66 kanak-kanak di Gambia, Afrika dan kecederaan buah pinggang di Indonesia.

    Empat ubat batuk berkenaan adalah Promethazine Oral Solution BP, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

    Semua produk ubat-ubatan di negara ini mesti berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam (PKNUBD) terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

    Gambar fail bertarikh 6 Oktober menunjukkan produk ubat batuk jenis sirap yang telah dilupuskan di Banjul, Gambia. – AFP

    Dokumen lengkap mesti dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk penilaian bagi memastikan produk ubat tersebut memenuhi piawaian kualiti, keselamatan dan keberkesanan antarabangsa yang telah ditetapkan sebelum diluluskan dan diimport ke Negara Brunei Darussalam.

    Walau bagaimanapun orang ramai yang mempunyai bekalan ubat-ubat batuk jenis sirap yang tersenarai itu adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta.

    Jika mereka mengalami sebarang kesan advers, kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas pengambilan sebarang ubat, hendaklah mendapatkan nasihat lanjut daripada doktor dengan segera atau ahli farmasi mereka jika mempunyai sebarang kebimbangan.

    Setakat ini, tiada laporan mengenai kesan advers atau kematian yang berkaitan dengan penggunaan ubat batuk jenis sirap dalam kalangan kanak-kanak telah diterima oleh pihak berkuasa di negara ini.

    Berdasarkan maklumat terkini, Kementerian Kesihatan turut memaklumkan bahawa ubat batuk jenis sirap di Negara Brunei Darussalam tidak perlu digantung penjualan dan pengedarannya pada masa ini.

    Kementerian akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap situasi global mengenai ubat batuk di mana keselamatan orang ramai adalah menjadi keutamaan bagi Kementerian Kesihatan.

    Penilaian keselamatan dan kualiti ubat yang berterusan dijalankan bagi memastikan ubat-ubatan adalah berkualiti, selamat dan berkesan untuk digunakan di negara ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...