MANILA, 17 JAN – Orang ramai yang belum menerima suntikan vaksinasi penuh COVID-19 dilarang daripada menggunakan pengangkutan awam di ibu negara Filipina hari ini, satu langkah terdesak yang mencetuskan bantahan daripada kumpulan buruh dan hak asasi manusia.
Kempen vaksinasi Filipina dibelenggu dengan sikap teragak-agak orang awam dan penangguhan, di tengah-tengah penularan varian mudah berjangkit, Omicron yang melonjakkan jumlah jangkitan kebelakangan ini di negara itu.
Daripada kurang 1,000 kes baharu harian semasa cuti musim Krismas, Jabatan Kesihatan mengesahkan satu rekod lebih daripada 39,000 jangkitan pada Sabtu lalu. Di bawah dasar ‘tiada vaksin, tiada pengangkutan’ Jabatan Pengangkutan, pengguna yang belum menerima vaksin penuh tidak akan dibenarkan menaiki jeepney, teksi, bas, feri laut dan pesawat komersial awam berulang alik dari Metropolitan Manila dan sekitarnya.
Pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan bukti dalam kecemasan atau tidak dapat divaksin atas alasan perubatan.
Larangan itu akan berkuat kuasa sehingga hujung Januari dan merupakan tindakan susulan daripada amaran Presiden Rodrigo Duterte bahawa penduduk dan rakyat Filipina tidak divaksin serta ingkar arahan kekal di rumah bagi mengurangkan jangkitan komuniti, boleh ditangkap.
Polis memberi amaran pengguna yang menunjukkan bukti sijil vaksin palsu boleh didenda atau dipenjarakan.
“Sememangnya terdapat alasan sah bagi matlamat untuk memvaksin sebanyak mungkin orang. Walau bagaimanapun, alasan ini seharusnya tidak menegah orang ramai daripada kebebasan pergerakan,” kata Buch Olano dari Amnesty International di Filipina. Pakar mengatakan kesahihan dasar itu boleh dipersoalkan di Mahkamah Tinggi. – AP