‘Tiada varian Omicron dikesan’

KUALA LUMPUR, 1 DIS – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan tiada varian Omicron COVID-19 dikesan di Malaysia sehingga kini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata hasil itu diperoleh berikutan aktiviti kajian penjujukan genom yang dilakukan oleh tujuh makmal termasuk Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

“Sehingga semalam, sebanyak 5,651 sampel telah dianalisis dan 3,885 sampel dikenal pasti sebagai varian jenis Delta manakala dua sebagai subvarian AY4.2 yang dikesan bulan lepas.

“Sehingga kini, tiada varian Omicron COVID-19 dikesan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir Hari Graduasi MYHackathon 2020 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata MOSTI akan meneruskan kajian penjujukan genom untuk pemantauan agar tiada kemasukan varian baharu ke dalam negara.

Dr Adham turut berkata MGVI akan melaksanakan kajian penjujukan genom terhadap individu yang didapati positif COVID-19 di pintu sempadan negara. – Bernama