Tiada wabak koronavirus dikesan di Malaysia

SEPANG, 21 JAN – Tiada wabak koronavirus dikesan di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata seramai 61 orang daripada 267,054 penumpang dan anak kapal yang disaring di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 15 hingga 20 Jan merekodkan bacaan suhu badan yang tinggi tetapi bukannya berkaitan koronavirus.

“Seramai 61 orang dikesan mempunyai bacaan suhu badan yang tinggi tetapi imbasan kedua mendapati mereka yang antaranya warganegara Malaysia, Myanmar dan Ireland itu hanya mengalami deman biasa,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 15 Jan hingga 20 Jan itu, imbasan haba telah dilakukan terhadap 258,246 penumpang dan 8,808 anak kapal daripada sejumlah 2,484 pesawat yang mendarat di KLIA di sini.

Bercakap kepada media selepas meninjau proses imbasan haba susulan berlakunya wabak koronavirus di Wuhan, China di KLIA hari ini, Lee berkata proses pemantauan ketat dilakukan selepas pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan risiko penularan wabak tersebut yang kini boleh tersebar dari manusia ke manusia. “Kami telah mengambil langkah mempertingkatkan kesiapsiagaan saringan di semua pintu masuk negara dan sehingga kini tiada kes sebegitu dikesan menular di negara ini,” katanya.

Lee berkata semua yang memasuki negara ini akan melalui proses imbasan terma dan sekiranya tidak sihat atau demam mereka akan diasingkan serta ditempatkan di Pusat Kuarantin Kesihatan KLIA sebelum di bawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Individu yang baru kembali dari China atau dalam tempoh 14 hari mengalami demam, selesema atau radang paru-paru dinasihatkan melakukan pemeriksaan lanjut. – Bernama

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye melawat Pusat Pemantauan Saringan suhu badan yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini. – Bernama