Tiada yang terpinggir semasa pandemik

KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Kerajaan telah menyediakan dan akan terus memberikan insentif kewangan, pekerjaan atau latihan bagi memastikan tiada siapa yang terpinggir semasa pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama, membuat rancangan untuk keluar daripada krisis kesihatan ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata komitmen itu adalah untuk meningkatkan peluang, memberi ruang kepada pencari kerja untuk mencari nafkah sendiri serta terus produktif.

“Keluarga Malaysia merangkumi semangat negara ketika kami terus fokus pada agenda pembangunan nasional dan memastikan sesama rakyat Malaysia dijaga.

“Ini adalah komitmen saya bahawa pemulihan negara daripada pandemik ini akan merangkumi semua dan inklusif,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF) 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Teks ucapan perdana menteri dibacakan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Ismail Sabri berkata pengembangan pasaran buruh aktif yang inklusif perlu merangkumi strategi pengintegrasian semula kerana ia merupakan bahagian penting dalam sebarang inisiatif untuk memberi perlindungan keselamatan sosial.

Beliau berkata adalah amat penting bagi aktiviti seperti bantuan pencarian pekerjaan, program keusahawanan serta pendidikan dan latihan vokasional diperkembangkan dan diperluaskan ke setiap lapisan populasi yang disasarkan. – Bernama