Tiang dirempuh jejas bekalan elektrik

Oleh Sim Y. H.

BELAIT, 7 FEB – Sebuah kenderaan yang terbabas ke tiang elektrik di jalan sekitar Panaga menuju ke Setia Diraja telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang bermula 5:30 pagi ini di kawasan Perumahan Negara Kampung Pandan, Pekan Kuala Belait, Kampung Mumong dan kawasan sekitarnya sekali gus menjejaskan ribuan penduduk di sana.

Susulan gangguan tersebut, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Kementerian Tenaga telah bergegas menjalankan kerja-kerja pengenalpastian kerosakan yang kemudian didapati berpunca daripada tripping di talian 66,000KV Panaga ke Setia Diraja yang disebabkan oleh salah satu tiang talian kawat atas 66,000KV telah dilanggar oleh sebuah kenderaan.

JPE dalam kenyataannya menjelaskan bahawa impak daripada perlanggaran berkenaan telah menyebabkan satu tiang bengkok dan 15 ‘insulators’ yang berfungsi sebagai pemegang kawat atas 66,000KV telah patah.

Kenyataan JPE turut memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih talian kawat atas dan seterusnya memulihkan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan yang terjejas telah dijalankan dengan menggunakan talian alternatif 11,000KV dan generator bergerak.

Pemulihan itu dibuat secara berperingkat-peringkat dan disebabkan keupayaan (kapasiti) talian 11,000KV yang kurang berbanding 66,000KV, sebahagian tempat masih belum dapat diberikan bekalan.

Sebuah kenderaan yang merempuh tiang elektrik di jalan Panaga menuju ke Setia Diraja telah mengakibatkan gangguan bekalan di kawasan sekitarnya. – Gambar serahan JPE

Kawasan-kawasan berkenaan hanya akan menerima bekalan elektrik setelah kerja-kerja membaiki sistem talian 66,000KV yang mengalami kerosakan dipulihkan sepenuhnya.

Kerja-kerja membaik pulih melibatkan sekitar 13 orang kakitangan JPE, 15 orang pemborong yang dilantik oleh JPE dan lebih 30 orang kakitangan bantuan daripada Berakas Power Company Sdn Bhd (BPC) dan pemborong mereka, GT Industries Sdn Bhd dengan menggunakan jentera-jentera berat serta bantuan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei dalam mengawal lalu lintas dan pengguna jalan raya.

JPE akan memastikan kerja-kerja pemulihan bekalan akan dapat dibuat sesegeranya dan mengutamakan aspek keselamatan semua pihak.

Makluman mengenai gangguan bekalan elektrik pihak JPE telah pun disalurkan ke Talian Darussalam bagi sebarang pertanyaan orang ramai. Di samping itu, JPE juga telah memaklumkan para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait mengenai perkara tersebut untuk disampaikan kepada penduduk yang terjejas.

JPE juga memohon kerjasama orang ramai supaya tidak menyebarkan apa jua makluman yang tidak sahih. Sebarang perbuatan penyebaran maklumat palsu kepada orang awam merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam mengikut Seksyen 34, Akta Ketenteraman Awam Penggal 148, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda $3,000 jika sabit kesalahan. JPE memohon maaf terutama kepada penduduk di kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan elektrik tersebut dan sebarang kesulitan yang timbul amatlah dikesali.

Untuk sebarang aduan mengenai bekalan elektrik, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau melayari laman sesawang www.des.gov.bn.