Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiara jacquelina kembali aktif berlakon

    Penerbit dan aktres, Tiara Jacquelina kembali semula berlakon menerusi drama bersiri, Keluarga Baha Don musim ketiga selepas 17 tahun meninggalkan dunia lakonan.

    Keunikan watak Ivana, selain watak antagonis dalam drama komedi membuka hati Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia pada 1995 itu menerima lamaran membintangi drama Keluarga Baha Don musim ketiga yang akan disiarkan menerusi platform penstriman Viu, mulai hari ini. Mengulasnya, Tiara berkata, selain ingin melepaskan gian berlakon, keunikan karakter Ivana membuatkan hatinya terbuka untuk kembali ke bidang lakonan.

    “Saya tidak pernah terfikir kembali berlakon selepas filem Puteri Gunung Ledang The Movie pada 2004. Mungkin tawaran datang pada tepat pada masanya ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lagi pun, saya tiada melakukan apa-apa. Lebih membuatkan saya tertarik kerana watak Ivana sangat berbeza. Produksi siap memberikan skrip berserta ilustrasi karakter Ivana yang lengkap dengan kostum khas.

    “Faktor lain membuatkan saya tidak mampu menolak kerana saya ingin cuba karakter baharu. Saya tidak pernah membawakan watak antagonis dalam drama bergenre komedi, jadi ini peluang keemasan yang tidak seharusnya dile-paskan,” katanya kepada media.

    Tiara ditemui pada sidang media drama Keluarga Baha Don musim ketiga secara virtual pada Rabu lalu.

    Tiara Jacquelina kembali semula berlakon menerusi drama bersiri, Keluarga Baha Don musim ketiga selepas 17 tahun meninggalkan dunia lakonan. – Agensi

    Sebagai seorang yang mementingkan kualiti dalam setiap hasil kerja, pelakon filem Irisan-Irisan Hati dan Ringgit Kasorrga itu mengakui, keputusannya kembali berlakon tepat dan berbaloi kerana produksi berkenaan berkongsi visi yang sama dengannya.

    “Masa melihat trailer drama ini, saya terpegun dan tidak menyangka ia adalah hasil kerja produksi tempatan. Drama ini turut menampilkan ramai bintang hebat. Melihat kepada semua aspek ini, saya yakin keputusan yang dibuat tepat dan penantian peminat yang ingin melihat saya kembali berlakon juga berbaloi menerusi drama berkualiti seperti ini,” ujar wanita berusia 53 tahun ini.

    Ditanya apakah kemunculannya memberi petanda akan kembali aktif, Tiara berkata, perkara itu masih dalam pertimbangannya.

    “Saya akan tetap memilih karakter sebelum menerima tawaran. Berlakon memerlukan masa yang banyak dan saya pula akan mengambil masa lama untuk melakukan persediaan membawakan sesuatu watak.

    “Buat masa ini, keutamaan saya untuk produksi Keluarga Baha Don,” ujarnya.

    Dihasilkan oleh Anomalous Films, Keluarga Baha Don berkisarkan keluarga yang boleh dianggap pelik apabila mempunyai perniagaan kulinari, di sebalik jenayah terancang.

    Musim ketiga siri itu memaparkan sambungan babak tergantung pada musim kedua di mana Bobby Bachan, lakonan Fikry Ibrahim mengeluarkan ancaman berat untuk memusnahkan Keluarga Baha Don.

    Drama 10 episod itu menampilkan lakonan Remy Ishak, Khir Rahman, Jihan Muse, Susan Lankester, Othman Hafsham, Amy Mastura, Nam Ron dan Tony Eusoff. Selain Tiara, drama berkenaan turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Elizabeth Tan dan Vicha Saywho. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda