MILAN, 23 MEI – Claudio Ranieri menamatkan karier selaku jurulatih bersama Sampdoria kelmarin dengan kemenangan 3-0 ke atas Parma.
Penyerang Itali, Fabio Quagliarella menandakan penampilan Serie A yang ke-500 dengan gol pembukaan menentang Parma, yang tersingkir setelah menghuni kedudukan tercorot.
Ranieri, 69, mengumumkan pada Jumaat dia tidak akan melatih kelab berpangkalan di Genoa musim hadapan dengan kontraknya bakal tamat pada Jun, selepas dua musim bersama kelab tersebut.
Quagliarella memecah kebuntuan selepas 20 minit, menyudahkan hantaran lintang Antonio Candreva, dengan Omar Colley menjaringkan gol kedua selepas waktu rehat.
Candreva sekali lagi membantu Manalo Gabbiadini untuk menyumbat gol ketiga selepas sejam perlawanan berlangsung untuk melengkapkan tiga mata penuh dan melonjakkan kedudukan pasukan ke tangga kesembilan.

Quagliarella menjaringkan 177 gol di liga utama dan 99 gol untuk Sampdoria, termasuk 13 gol pada musim ini.
Pemain kebangsaan Itali itu bermain lebih 200 perlawanan untuk Sampdoria dan merupakan penjaring terbanyak Serie A pada musim 2018-2019 dengan 26 gol.
Quagliarella membuat penampilan sulung di liga utama bersama Torino pada 2000.
Dia juga pernah mewakili Udinese, Napoli dan Juventus, serta memenangi tiga gelaran Serie A bersama kelab Turin.
Genoa menewaskan Cagliari 1-0 dengan Eldor Shomurodov menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Sementara itu, Fiorentina terikat seri tanpa jaringan menentang Crotone.
Pasukan juara, Inter Milan akan meraikan gelaran Serie A sejak 2010 di hadapan 1,000 orang peminat semasa perlawanan terakhir mereka di San Siro menentang Udinese.
Manakala Juventus berada dalam perlumbaan memburu slot Liga Juara-Juara bersama AC Milan dan Napoli. – AFP



































