Tic Tac Toe mudah alih

Oleh Amri HTZ

Bersantai bersama keluarga pada hujung minggu memerlukan satu aktiviti untuk dilakukan bersama bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli.

Aktiviti-aktiviti tersebut tidaklah bermakna ia perlu dilakukan di luar namun juga boleh dilakukan di dalam rumah seperti melalui papan permainan. Walaupun agak klasik dan tidak setan-ding permainan dalam talian melalui pelbagai aplikasi, tic tac toe kekal menjadi minat pelbagai lapisan masyarakat.

Sebagai persediaan awal sebelum hujung minggu, reka papan permainan mudah alih yang diperbuat daripada kayu yang cukup mudah.

Sedia sebelum reka

Bagi mereka permainan tic tac toe mudah alih yang diperbuat daripada kayu ini, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu seperti sekeping kayu berukuran 2” x 4” dengan panjang 3.5” panjang dan 1.5” tebal, wood stain atau varnis, mesin pemotong kayu, pita pengukur atau pembaris, mesin gerudi mudah alih atau jenis drill press, mesin router, pen atau pensel penanda, mata mesin router jenis round over bit berukuran ¼”, mata gerudi ¾”, mesin ketam kayu dan lima butir guli (setiap satu warna).

Langkah pembuatan

Bagi langkah pertama pembuatan, kayu berukuran 2” x 4” yang disediakan akan dipotongkan dengan ukuran 3.5” panjang dan 3.5” lebar yang secara langsung akan membentuk blok kayu berbentuk empat segi. Gunakan mesin pemotong kayu atau gergaji kayu manual untuk awda yang tidak memilikinya bagi melakukan langkah ini.

Kedudukan bahagian yang perlu ditandakan bagi mereka lubang counter sink untuk guli ditempatkan ketika bermain.
Kayu kecil yang digunakan untuk menghalang guli daripada terkeluar.
Cara mereka lubang counter sink dengan hanya menggunakan bahagian hujung mata gerudi.
Permukaan dengan lubang counter sink yang berjaya direka

Setelah memotongkannya, kayu tersebut kemudiannya perlu diratakan dan dihaluskan permukaannya menggunakan ketam kayu. Memandangkan kayu yang digunakan agak kecil ukurannya, ketika langkah mengetam permukaannya memerlukan awda menetapkannya pada vais atau hanya menempatkannya di meja kerja yang mampu mengekalkannya di satu tempat agar tidak bergerak ketika ketam disorongkan jika menggunakan ketam secara manual.

Manakala bagi penggunaan mesin ketam secara automatik, awda hanya perlu memasukkannya di ruangan khusus dengan menetapkan kedalaman atau ketinggian mata ketam pada ukuran 1mm. Lakukan kesemua langkah mengetamkan kayu untuk kesemua permukaan.

Bagi awda yang tidak memiliki peralatan ketam untuk kayu, menggunakan kertas pasir juga boleh digunakan pada permukaan yang rata tetapi mempunyai permukaan yang kasar. Gunakan kertas pasir berukuran 350 grit diikuti dengan 600 grit diakhiri dengan 1,000 atau 1,500 grit. Langkah ini selain menghaluskan lagi permukaan, ia juga berfungsi sebagai penghalus pori kayu yang memainkan peranan ketika ia disapukan dengan wood stain atau varnis.

Kesemua permukaan sisi blok kayu kemudiannya akan dibulatkan menggunakan round over bit. Seperti langkah sebelumnya, kekalkan blok kayu pada vise kayu bagi memastikan ia cukup selamat untuk dikendalikan. Bagi awda yang tidak memilikinya, meletakkannya pada permukaan meja kerja memerlukan langkah berhati-hati mengerjakannya kerana kelajuan putaran mesin boleh menyebabkan blok kayu terpelanting.

Langkah seterusnya ialah menebuk bahagian sisi kayu dengan lubang berukuran ¾” yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan guli. Tandakan bahagian tengah dengan dua titik pada kedudukan 1” dari bahagian hujung kedua-dua sisi. Bahagian yang telah ditandakan ini kemudiannya akan ditebuk menggunakan mata gerudi berukuran ¾” (lebih besar daripada ukuran guli yang digunakan) dengan kedalaman 3”.

Untuk memastikan guli yang akan ditempatkan kekal pada lubang tersebut, sebatang kayu kecil akan dipotongkan dan diletakkan pada bahagian tengah di antara dua lubang tersebut. Potongkan kayu berukuran 4sm panjang dan 1sm lebar untuk bahagian ini.

Bagi mereka permukaan counter sink pada papan permainan untuk menempatkan guli agar tidak bergolek, pada awalnya perlu ditandakan kedudukannya menggunakan pensel. Untuk itu dapatkan kedudukan bahagian tengah blok kayu diikuti dengan kedudukan 5/8” daripada keseluruhan bahagian sisi. Ini akan memberikan kedudukan tepat untuk kesemua sembilan counter sink yang kemudiannya akan direka menggunakan mata gerudi berukuran ¾” (gunakan hanya bahagian hujungnya).

Sebelum melakukan langkah menandakan garisan permukaan papan permainan, keseluruhan permukaan kayu perlu terlebih dahulu disapukan dengan wood stain atau varnis. Berikan beberapa lapisan stain jika dirasakan ia tidak cukup gelap ketikanya mengering. Manakala untuk penggunaan varnis, memberikannya masa mengering lebih kurang setengah jam sebelum lapisan kedua diperlukan dan lebih kurang 24 jam sebelum mengendalikannya sepenuhnya.

Bagi mereka permukaan bergaris untuk papan permainan, ia begitu mudah dengan hanya menetapkan kedudukan besi panduan (guide) mesin pemotong kayu meja pada kedudukan 1 ¼” dan kini awda hanya perlu menetapkan ketinggian mata mesin gergaji dengan ketinggian 3mm.

Jika langkah ini tidak dapat dilakukan disebabkan keterbatasan peralatan seperti mesin pemotong kayu meja, menggunakan pen penanda (permanent marker) juga boleh dilakukan. Namun hasil akhir tidaklah secantik yang dihasilkan mesin pemotong kayu. Selain itu, jika awda masih inginkan hasil akhir seperti mesin pemotong kayu, meloreknya menggunakan pisau utiliti pada kawasan yang telah ditandakan juga boleh dilakukan.

Langkah terakhir adalah menetapkan kayu penahan guli pada bahagian sisi blok kayu. Sebelum menetapkan skru pada permukaan kayu, tebuk bahagian tengah kayu menggunakan mata gerudi berukuran 3mm.

Ini bagi memastikan kayu kecil tersebut tidak terbelah ketika skru dimasukkan. Selamat mencuba!