Tidak ada masa untuk bersikap selektif

Haneesya Hanee, tidak melihat penyertaannya dalam pertandingan program realiti pencarian model Miss Pinklady Asia (MPLA) musim kedua mengganggu fokusnya dalam bidang lakonan.

Haneesya, 19, berkata sebagai bakat baharu, dia perlu bijak memanfaatkan peluang yang datang, meskipun ramai berpendapat sebaiknya memberi tumpuan membina nama dalam bidang seni.

Tambah artis yang sering berdepan isu sensasi dan kontroversi itu, dia mempunyai alasan tersendiri menyertai pertandingan yang menampilkan 12 peserta dari lapan negara Asia, termasuk Thailand, Myanmar, India, Korea Selatan, Filipina, Singapura, Indonesia dan Hong Kong.

“Sebelum ini, ada pihak mengusulkan supaya saya mencuba nasib dalam pertandingan Asia’s Next Top Model (ANTM). Jadi, saya lihat MPLA sebagai batu loncatan dan persediaan sekiranya saya berpeluang menyertai ANTM. Tambahan pula, MPLA turut menggunakan format sama seperti ANTM. Saya harap dapat terus meneroka dan mencabar diri untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dalam dunia peragaan,” katanya mengenai program yang boleh ditonton menerusi YouTube bermula 4 Januari depan.

Ditanya potensi untuk dia mengungguli pertandingan itu, Haneesya atau nama penuhnya, Sharifah Haneesya Syed Sahlan, tidak berani meramalkan peluang. – Agensi

Haneesya berkata sebagai bakat baharu, dia perlu bijak memanfaatkan peluang yang datang. – Agensi