Monday, March 17, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tidak ada masa untuk menangis

    MUNICH, 6 Ogos – Jose Mourinho mengakui skuad kendaliannya mungkin tidak dibarisi pemain terbaik apabila Manchester United mengharungi perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Inggeris, awal pagi Sabtu ini.

    Kempen pramusim United yang berlangsung dengan aksi ‘naik turun’ berakhir dengan kekalahan 0-1 kepada Bayern Munich di Arena Allianz, awal pagi semalam.

    Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain Sepanyol, Javi Martinez pada babak kedua yang memberikan kemenangan buat juara Jerman itu susulan prestasi longlai United yang bertemu Leicester City di Old Trafford bagi aksi pertama liga.

    “Minggu ini, kami perlu menyusun kembali pasukan untuk membolehkan kami kembali segar pada Jumaat kerana pada hari itu, Liga Perdana bermula. Kami bermain untuk meraih mata menggunakan pemain sedia ada,” kata Mourinho.

    “Tiada masa untuk menangis. Pemain tidak akan berada di sini pada Jumaat jadi kami perlu mengharunginya dengan barisan yang terbaik dimiliki dan dengan mentaliti hebat.”

    Reaksi Mourinho sejurus tiba bagi perlawanan persahabatan antara Bayern Munich dan Manchester United di Allianz Arena, awal pagi semalam. – AFP

    United memperoleh kembali khidmat dua tonggaknya, Marcus Rashford dan Victor Lindelof di Jerman tetapi mereka kehilangan Eric Bailly yang mengalami kecederaan susulan pertembungan dengan Serge Gnabry.

    “Akhirnya, pramusim yang sukar sudah berakhir. Pemain sekali lagi cemerlang dan mereka tidak boleh lakukan yang lebih baik berbanding apa yang mereka sudah lakukan,” katanya.

    Rashford menyarung jersi nombor 10 pada perlawanan itu, nombor yang biasanya dipakai oleh ‘aset’ penting pasukan di Old Trafford seperti Wayne Rooney dan Zlatan Ibrahimovic.

    “Beliau mahukannya. Beliau sentiasa mahukannya,” kata pengurus dari Portugal itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda