‘Tidak akan ada lagi Rohingya dibenarkan masuk’

DHAKA, 23 APRIL – Bangladesh tidak akan menerima dua bot membawa ratusan yang dikatakan pelarian Rohingya yang kelaparan, kata menteri luar negeri negara itu hari ini ketika gesaan memuncak untuk menyelamatkan orang terbuang.

Kontroversi baharu berhubung Rohingya yang terkandas meletus beberapa minggu selepas puluhan mati kelaparan di atas bot yang dibiarkan di laut selama dua bulan sebelum ia dibenarkan mendarat.

Aktivis sangat bimbang sejumlah besar Rohingya, mungkin terperangkap di bot-bot dan tidak dapat tiba ke negara-negara lain.

Dua bot terbaharu berada di perairan antarabangsa selepas penyeludup manusia cuba untuk memasuki Malaysia, menurut kumpulan-kumpulan bantuan dan seorang pemimpin komuniti Rohingya.

Bangladesh telah menga-rahkan rondaan-rondaan dilaksanakan di Teluk Bengal untuk menghentikan bot-bot masuk, kata Menteri Luar Negeri, A.K. Abdul Momen.

“Dua bot membawa Rohingya cuba untuk memasuki perairan kami,” katanya, menambah bahawa bot-bot itu muncul dari negeri Rakhine, Myanmar susulan pertempuran antara tentera dan kumpulan pemberontak, atau ‘di tempat lain’.

“Tentera laut kami dan pengawal pantai sentiasa meningkatkan kewaspadaan dan mereka telah diarahkan untuk tidak membenarkan bot-bot memasuki Bangladesh,” kata Momen.

“Tidak akan ada lagi Rohingya dibenarkan masuk,” tambahnya. – AFP