Tidak akan ada perang – Iran

TEHRAN, 19 Mei – Menteri kewangan Iran menolak prospek mengenai perang baharu di rantau itu kerana Tehran menentangnya.

Ketegangan antara Washington dan Tehran semakin meningkat ketika Amerika Syarikat (AS) telah mengerahkan kumpulan kapal induk pesawat udara dan B-52 pengebom kerana mengganggap Iran sebagai ‘ancaman’.

“Kami pasti tidak akan terjadinya perang kerana tiada pihak yang mahukan peperangan atau sesiapa yang mempunyai ilusi mereka boleh berdepan Iran di rantau ini,” kata Mohammad Javad Zarif kepada agensi berita IRNA ketika menamatkan kunjungannya di China.

Presiden AS, Donald Trump “tidak mahu peperangan tetapi orang di sekelilingnya menggesanya ke arah peperangan di bawah helah mahu menjadikan Amerika kuat berbanding Iran,” tambah Zarif.

Hubungan Iran-AS telah mencapai titik terendah tahun lepas ketika AS menarik diri dari perjanjian nuklear 2015 dan mengenakan semula sekatan yang sebelum ini ditarik sebagai pertukaran Tehran mengurangkan program nuklearnya.

Ketua bagi Revolutionary Guards yang berpengaruh berkata negara itu ketika ini terkunci dalam satu perang perisikan skala besar dengan AS.

“Ini adalah gabungan bagi perang psikologikal, operasi siber, pergerakan ketenteraan, diplomasi awam dan memberikan ketakutan,” menurut agensi berita ISNA yang dipetik daripada kata Hossein Salami.

“Kehebatan Amerika sudah merosot dan ia hampir mencapai penamatnya, pada masa yang sama, kita perlu berwaspada bagi sebarang bahaya dalam apa jua bentuk,” katanya. – AFP

Mohammad Javad Zarif (kiri) bersama Menteri Kewangan China, Wang Yi semasa kunjungannya ke China. – AFP